Yayasan Pendidikan Islam Selangor atau YAPIS adalah sebuah institusi pendidikan Islam di Negeri Selangor yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai sebuah Yayasan. YAPIS telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 21 Mac 2011. Di bawah Seksyen 24(1) sebagai sebuah syarikat dengan tanggungan berhad tanpa perkataan BERHAD kepada namanya.

Penubuhan YAPIS adalah sebagai salah satu strategi utama bagi memperkasa dan memartabatkan sistem pendidikan Islam di Selangor. YAB Tan Sri Dato Menteri Besar dalam Konvensyen Pendidikan Islam pada 8 Disember 2009 telah melancarkan penubuhan YAPIS dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan penubuhan YAPIS pada 24 November 2010.

Objektif penubuhan YAPIS seperti yang termaktub dalam Memorandum Yayasan adalah seperti berikut ;

Mewujudkan dan menggariskan satu sistem pendidikan menyeluruh berasaskan Sistem Pendidikan Islam di semua peringkat sama ada peringkat pra sekolah, rendah, menengah, kolej dan university di Negeri Selangor ke arah melahirkan muslim yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, beramal soleh untuk membangunkan diri, keluarga, masyarakat, Negara dan ummah.

Menggembleng kepakaran para ilmuwan Islam bagi membangunkan kurikulum Pendidikan Islam yang menggabung jalinkan aspek spiritual (kerohanian), physical (fizikal), intellectual (akal), emotional (emosi) dan social (sosial).

Menyediakan pelbagai bentuk prasarana, kemudahan, perkhidmatan dan bantuan pendidikan kepada semua institusi pendidikan Islam di semua pringkat dari peringkat pra sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi di Negeri Selangor.

VISI YAPIS
Menjadi sebuah Yayasan Pendidikan Islam terunggul di negeri ini.

MISI YAPIS
Menjadikan falsafah Pendidikan Islam sebagai dasar sistem pendidikan di Negeri Selangor.

Menghasilkan kurikulum bersepadu merangkumi aspek ruhiyah, aqliah dan jasadiah berasaskan Al-Quran & As-Sunnah.

Memperkasakan system pengurusan dan pentadbiran yang berlandaskan urus tadbir dan amalan pengurusan yang baik serta professional.

MOTO YAPIS
Islamic Education For All. Understand the Future, Today.